BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 20 Mac 2019 – Berikutan laporan yang diterima di Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berkenaan seorang perempuan telah melarikan diri dari rumah bernama Hjh Balqis bte Hj Md Hussein.  

Hasil daripada siasatan yang dijalankan pada 11 Mac 2019 keanggotaan Balai Polis Sengkurong telah berjaya menemukan mangsa yang hilang bersama suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penipuan. 

Tertuduh merupakan seorang wanita warganegara tempatan bernama Aziah bte Noor Aji berumur 24 tahun dan tidak bekerja dipercayai telah menjalankan kegiatan penipuan yang melibatkan jumlah wang yang bernilai melebihi 10 ribu ringgit Brunei. 

Pada 20 Mac 2019, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi menghadapi 4 pertuduhan yang melibatkan kesalahan menipu dan mendorong secara tidak jujur supaya diserahkan harta di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Hasil daripada perbicaraan, tertuduh telah direman di Balai Polis Pusat sehingga sebutan kes selanjutnya yang berlangsung pada 23 Mac 2019. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas perkongsian maklumat dan kerjasama yang disalurkan bagi menjalankan siasatan kes ini. 

Pihak Polis juga ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa peka dan berhati-hati dengan gejala-gejala yang mencurigakan melibatkan penipuan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI