TEMBURONG, Selasa 12 Mac 2019 – Operasi Sepadu Penguatkuasa Undang-undang telah diadakan semalam yang mana terdiri dari keanggotaan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya Daerah Polis Temburong, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) dan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH).
Operasi ini melibatkan seramai 48 orang pegawai dan anggota yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah dan Lalulintas Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis Pengiran Azlan Shah bin Pengiran Haji Ahmad. Tumpuan operasi ialah ke beberapa lokasi kediaman bagi pemeriksaan ke rumah-rumah pekerja asing.
Matlamat utama operasi sepadu pada malam tersebut adalah untuk membuat pemeriksaan secara rambang terhadap pekerja-pekerja asing yang bekerja khususnya di Daerah Temburong untuk memastikan para pekerja asing tersebut tidak ada memiliki sebarang barangan tegahan, lebih-lebih lagi barang-barang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
Hasil daripada pemeriksaan ke atas 30 orang warga asing di tiga buah tempat iaitu;
1) Rumah Pekerja di alamat No 11 Kg Batang Tuau.
2) Rumah Pekerja di kawasan Kilang Papan, Senukoh.
3) Rumah Pekerja di kawasan Kilang, Kg Bantaian.
Telah mendapati 7 kesalahan dibawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006 iaitu memiliki 25 paket rokok pelbagai jenis tanpa kebenaran.
Operasi pada malam tersebut juga adalah usaha berterusan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang di Daerah Temburong dalam sama-sama membanteras jenayah dan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam.




Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
