BRUNEI MUARA, Isnin 11 Mac 2019 –  Berikutan laporan kes curi dalam kereta yang berlaku di kawasan letak kereta basement Aman Hill Shopping Complex pada 9 Mac 2019 yang lalu, Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan dua (2) orang suspek wanita yang dipercayai terlibat ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini.   

Suspek pertama bernama Siti Noorjanah binti Abdullah, warganegara tempatan berumur 32 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan.   Manakala suspek kedua, Masfauziah bte Pungut @ Ismail, warganegara tempatan berumur 30 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.   

Kedua-dua suspek ditahan kerana dipercayai telah masuk ke dalam sebuah kereta yang tidak berkunci dan mengambil barang-barang didalamnya. Di atas perlakuan tersebut, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi.   

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyarankan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan lebih peka semasa meletakkan kenderaan mereka, sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan berkunci semasa ditinggalkan, tidak menyimpan barangan berharga dalam kenderaan dan jangan meninggalkan kenderaan semasa enjin kereta masih hidup walaupun dalam masa yang singkat. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI