BELAIT, Sabtu 9 Mac 2019 – Perjumpaan dan pendekatan Pengawasan Kejiranan telah dijalankan oleh anggota Focal Point Kejiranan Balai Polis Sungai Liang dimana kali ini kunjungan dibuat ke Pemangku Ketua Kampong RPN Lumut Yang Mulia Pg Ahmad Bin Pg Mahmud.  

Anggota yang hadir bagi membuat pendekatan Sarjan Mejar Tungku Ak Awu bersama Sarjan 3392 Jailani Hj Johari. 

Di samping mengeratkan silaturahim, perjumpaan berkenaan juga telah menyentuh mengenai beberapa perancangan untuk menubuhkan pengawasan kejiranan di kampung tersebut bagi mendukung Visi PK ‘Bersama Jiran Mencegah Jenayah’.   

Manakala di sebelah malamnya rondaan pencegahan jenayah telah dijalankan di sekitar kawasan Kampong Sungai Bakong. 

Rondaan tersebut telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Penolong Penguasa Polis Mohamad Amerol bin Haji Metusin bersama beberapa ahli Pengawasan Kejiranan yang juga diketuai oleh Yang Mulia Haji Abd Aziz Bin Haji Gani, Pemangku Ketua Kampung Lumut 1.   

Turut menjalankan rondaan ialah Focal Point Balai Polis Kuala Belait bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampong Pandan C. Rondaan diketuai oleh Kopral 3028 Mohammad Jin bin Roseta bersama 04 orang anggota balai polis tersebut dan 06 orang ahli PK. 

Turut hadir Ketua Kampung Pandan C iaitu Yang Mulia Awang Haji Affendy bin Awang Damit.   Rondaan dibuat di kawasan sekitar perumahan Kampong Pandan, Masjid Kampong Pandan, Jalan Maulana dan premis-premis kerajaan dengan menggunakan kereta kerajaan.  

Sewaktu rondaan pencegahan yang dibuat di sekitar kampung tadahan tidak ada menemui sebarang kegiatan-kegiatan jenayah atau perkara-perkara yang mencurigakan.   

BERAKAS – Program Pencegahan Jenayah telah dijalankan di Kg Madang bersama 23 orang ahli yang terdiri daripada pihak polis, PK, MPK dan Belia-Belia Masjid Kg Berkenaan.   

Mengetuai rondaan Penolong Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis Muhammad Alif bin Haji Musa dan mewakili penduduk kampung Yang Mulia Haji Emran bin Haji Ismail, Ketua Kampong Madang, Mukim Berakas ’B’.  

Tujuan utama rondaan mencegah jenayah adalah membanteras kegiatan jenayah di kawasan tadahan kampung dan sekitarnya serta memberikan galakan dan melatih para penduduk kampung sebagai mata dan telinga kepada pihak polis bagi sama-sama membantu menghalang niat dan kegiatan jenayah dilakukan serta bagi memupuk semangat para generasi muda untuk ikut serta menjadi Ahli Pengawasan Kejiranan (PK) sebagai  generasi pelapis di masa akan datang. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI