LIMAU MANIS, Jumaat 01 Mac 2019 –  Pada 1/3/2019 jam lebih kurang 4.20 pagi, hasil daripada rondaan pencegahan jenayah yang dijalankan di kawasan Kg Bebuloh, Limau Manis. Keanggotaan daripada Balai Polis Limau Manis bersama Pasukan Simpanan ‘C’ Kompeni telah berhasil membuat penemuan 2 buah kenderaan yang mencurigakan tanpa pemandu diletakkan di kawasan sebuah rumah yang berhampiran dengan sempadan negara jiran. 

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan di kedua buah kenderaan tersebut telah menemukan sejumlah kira-kira 1,192 barangan tegahan iaitu katon rokok pelbagai jenis dan jenama yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini. 

Kenderaan serta barang bukti dirampas dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk dijalankan siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang ramai bahawa untuk sentiasa peka dan mematuhi apa jua peraturan undang-undang di Negara ini. Di samping itu, memohon kepada orang ramai agar turut memainkan peranan proaktif sebagai telinga dan mata kepada Pasukan Polis Diraja Brunei dengan menyalurkan sebarang maklumat penting agar anasir-anasir jenayah dapat ditangani hingga ke peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI