BRUNEI MUARA, Rabu 20 Februari 2019 – Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei berhasil menggagalkan dua (2) percubaan kegiatan penyeludupan barangan tegahan di kawasan perairan Sungai Terusan Kupang dan kawasan Laut Menunggol, Daerah Brunei Muara.
Dalam kejadian pertama yang berlaku pada 13 Februari 2019 sekitar jam 5.00 pagi itu, Polis Marin telah mengenal pasti sebuah perahu kayu berwarna hitam yang dicurigai beserta beberapa individu sedang menuju masuk ke perairan Sungai Brunei daripada kawasan Sungai Terusan Kupang. Sejurus menyedari kehadiran Pihak Polis, individu tersebut telah membuang beberapa bungkusan plastik di kawasan Sungai Pengkalan Batang dan seraya melarikan diri memasuki kawasan Limbang, Sarawak.
Polis Marin telah berhasil menemukan beberapa bungkusan plastik yang terapung tersebut dan dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin bagi di jalankan siasatan. Hasil daripada rampasan yang ditemui telah menemukan barangan tegahan iaitu sebanyak 620 katon rokok pelbagai jenis.
Manakala bagi kejadian kedua yang berlaku pada 18 Februari 2019 sekitar jam 10.05 pagi, ketika mana anggota Polis Marin sedang membuat sekatan sungai di kawasan Laut Tanjung Kindana telah mendapati 4 buah perahu yang dicurigai sedang keluar daripada Laut Menunggol. Rondaan segera dijalankan dikawasan anak Sungai Kg Menunggol dan telah mendapati sebanyak 12 kotak barangan yang dicurigai diletakkan di kawasan tebing sungai tersebut.
Kesemua barangan yang ditemui dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin bagi dijalankan siasatan. Hasil Pemeriksaan telah mendapati sejumlah barangan tegahan iaitu sebanyak 570 katon rokok, 24 botol serta 98 tin minuman keras pelbagai jenis.
Kedua-dua kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.




Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
