BERAKAS, Rabu 13 Februari 2019 – Seorang anggota Polis yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) maut setelah dirempuh oleh sebuah kereta di kawasan persimpangan laluan masuk ke Jalan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas semalam.
Kejadian tersebut disahkan apabila Balai Polis Berakas telah menerima panggilan kecemasan itu pada jam sekitar 10.24 malam berkenaan.
Hasil siasatan yang dijalankan dan mendapati, Polis Konstabel 6272 Aeronlee Anak Ejit yang sedang bertugas membuat kawalan lalulintas di persimpangan menuju ke Stadium Negara telah dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah Jalan Berakas hala ke Jalan Perdana Menteri.
Semasa kejadian tersebut, mangsa telah tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) Bandar Seri Begawan bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan segera.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital berkenaan setelah mendapat kecederaan dalaman yang serius di bahagian kepala, lengan dan punggung disebabkan oleh hentakan / impak yang kuat akibat daripada kejadian kemalangan tersebut.
Suspek Nor Amal Shamimi bte Juzlie berumur 20 tahun telah ditahan dan dibawa oleh Balai Polis Berakas bagi siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan dan menasihati orang ramai terutama sekali para pemandu untuk lebih peka dan sentiasa menumpukan perhatian semasa pihak polis sedang bertugas dalam menjalankan kawalan lalulintas di persimpangan jalan-jalan di Negara ini.
Ianya juga adalah bertujuan untuk memastikan para petugas sentiasa berada dalam keadaan yang terlindung daripada sebarang ancaman atau merbahaya sewaktu mengawal lalulintas.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
