BRUNEI MUARA, Rabu 13hb Februari 2019 – Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima beberapa laporan berkenaan percubaan satu skim penipuan didalam talian (online scamming) yang dilaporkan oleh beberapa syarikat di Negara ini.
Hasil siasatan yang dijalankan telah mendapati skim penipuan BUSINESS EMAIL COMPROMISE (BEC) ini telah cuba untuk menipu beberapa syarikat yang ada di Negara Brunei Darussalam.
Modus Operandi skim penipuan ini ialah dengan menghantar email ke syarikat-syarikat tertentu dengan menawarkan penjualan serta satu sebut harga (quotation) bagi pembelian barang – barangan dalam jumlah yang besar. Skim ini seterusnya akan cuba untuk mempengaruhi mangsanya dengan mendapatkan sebarang maklumat mengenai peribadi mangsa dengan tujuan untuk mendapatkan wang.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang ramai terutama sekali kepada syarikat-syarikat yang berdaftar di Negara ini agar tidak memberikan sebarang tindak balas mahupun respon jika ada menerima e-mel sedemikian.
Dalam pada itu, PPDB ingin menasihatkan kepada orang awam untuk lebih peka dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada skim jenayah dalam talian ini (online scamming).
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
