BELAIT, Sabtu 9 Februari 2019 – Pihak polis dengan kerjasama ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) telah mengadakan dua (2) rondaan pencegahan jenayah di dua buah kampung di Daerah Belait semalam.
Pertama ialah rondaan Balai Polis Labi bersama ahli-ahli PK Rumah Panjang Kg. Melayan, Labi.
Mengetuai rondaan, Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Mohd Nazmi Bin Hj Ismail bersama Ketua Rumah Panjang, Yang Mulia Ah Joup Anak Rading.
Rondaan pencegahan jenayah giat dijalankan bagi memastikan persekitaran dalam keadaan aman dan selamat serta bebas dari sebarang kegiatan jenayah.
Rondaan kedua dikendalikan oleh keanggotaan Balai Polis Seria bersama ahli-ahli PK Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampong Panaga 2000, Seria.
Mengetuai rondaan tersebut ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Inspektor Percubaan Boniface Anak Janlita bersama anggota Balai. Turut sama hadir Pegawai Menguasa Balai Polis Panaga, Inspektor Mikhail Iman Bin Abdullah Lee.
Dengan adanya rondaan pencegahan jenayah tersebut, ia diharap dapat meningkatkan lagi kewaspadaan penduduk kampung mengenai persekitaran kampung mereka.
Kerjasama dengan pihak polis itu adalah satu inisiatif yang digalakkan dalam menjaga keselamatan di kampung masing-masing agar bebas dari sebarang kegiatan jenayah.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
