BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 2 Februari 2019 – Seorang lelaki tempatan telah ditangkap oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhubung satu kes Skim Penipuan Tawaran Pekerjaan bagi pengambilan rekrut sebagai anggota Polis dengan mengenakan pembayaran terhadap para pemohon.
Kes berkenaan telah disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah PPDB.
Tertuduh, Azman bin haji Ibrahim, 44 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret BSB atas dakwaan Tipu berhubung 11 pertuduhan dibawah seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. Tiada pengakuan diambil ke atas tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.Tertuduh juga telah diarahkan untuk hadir ke Mahkamah Majistret pada 25 Februari 2019 untuk sebutan kes selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan kepada orang ramai bahawa melakukan penipuan adalah merupakan kesalahan yang boleh didakwa mengikut seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 7 tahun atau dan denda.
Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai bahawa kemasukan sebagai rekrut dalam Pasukan Polis tidak ada mengenakan sebarang bayaran atau sebagainya. Iklan kemasukan hanya akan disalurkan melalui pengiklanan yang sah dan betul.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
