TUTONG, Rabu 6 Februari 2019 – Seorang lelaki warganegara Jerman maut di tempat kejadian selepas kenderaan yang dipandunya merempuh pagar besi pembahagi jalan serta melanggar tiang lampu elektrik yang berlaku di kawasan Lebuhraya Lumut Telisai hala Telisai.
Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan kejadian kemalangan tersebut melalui panggilan kecemasan 993 yang diterima pada 06 Februari 2019 sekitar jam 0050 malam yang telah meragut nyawa Marius Malchow berumur 24 tahun.
Hasil siasatan awal, mangsa telah dibawa ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong oleh pihak Ambulan dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas. Pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru dan menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengikut had laju yang telah ditetapkan. Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa memandu pada waktu malam juga mempunyai risikonya yang tersendiri dimana kebolehlihatan (visibility) dan jarak pandangan adalah terhad dan boleh menjejaskan pemanduan berbanding pada siang hari kerana pemanduan bergantung sepenuhnya kepada lampu jalan, lampu kereta sendiri dan juga lampu pemandu kenderaan lain.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUSETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
