GADONG, Khamis 24hb Januari 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini buat julung kalinya mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 98 kali bersempena Sambutan Hari Polis Kali Ke 98 Tahun 2019 yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat Yang Mulia Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy Bin Haji Muhd Shah Al Islam bersama Datin.

Turut hadir di Majlis berkenaan Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengarah-Pengarah, Pegawai – Pegawai Kanan dan Para Pegawai, Isteri-Isteri Pegawai serta anggota Pangkat Rendah PPDB.

Seramai 42 peserta khatam lelaki dan 56 peserta khatam wanita yang terdiri daripada pegawai lelaki dan wanita, anggota pangkat rendah serta kakitangan awam PPDB menyertai majlis ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al–Fatihah beramai–ramai yang dipimpin oleh peserta khatam, Penolong Penguasa Polis (ASP) Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin dan diikuti dengan bacaan ayat–ayat suci Al-Quran serta bacaan Takhtim oleh peserta–peserta khatam yang lain.

Majlis ini bertujuan memupuk dan menyuburkan minat membaca Al-Quran yang mendalam di kalangan warga PPDB dan juga merupakan satu kesinambungan bagi menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai satu budaya yang terpuji serta banyak mengajar dan menyeru manusia untuk menimba dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan sepertimana yang terkandung dalam ayat Al–Quran yang pertama diturunkan kepada umat manusia yang bermaksud:-

‘’Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan sekian makhluk, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah, dengan tuhan mu yang maha pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya‘’ – Surah Al-Alaq : Ayat 1 hingga 5.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI