GADONG, Rabu 2 Januari 2019 – Bersempena Sambutan Hari Polis Ke 98 Tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran secara serentak yang berlangsung di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah bagi memohon keberkatan agar warga pasukan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan tugasan mencegah dan membenteras jenayah, dihindari dari segala kesukaran dan kecelakaan dalam menjalankan tugasan harian.
Kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Doa Peliharakan Sultan serta bacaan doa kesyukuran beramai-ramai diketuai oleh Imam Surau Polis Gadong, Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Metali bersempena Sambutan Hari Polis ke 98 Tahun ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh para Pengarah, Pegawai Kanan dan Pegawai-pegawai serta anggota dan kakitangan PPDB. Turut hadir ialah mantan-mantan Pesuruhjaya Polis, mantan pegawai-pegawai PPDB, POLSARA dan Ketua Kampong.
Majlis serupa juga diadakan di Surau Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Panaga dan hadir selaku tetamu kehormat majlis Yang Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali beserta pegawai-pegawai dan anggota PPDB di Daerah Belait dan Tutong.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
