
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad 30 Disember 2018 – Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) serta seluruh Daerah-Daerah Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Undang-Undang negara ini yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro dan Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) telah melaksanakan ‘OPS CEGAH’ iaitu Operasi Sepadu Sekatan Jalanraya secara serentak di ke empat-empat daerah yang bermula pada tarikh 14/12/2018 sehingga 30/12/2018.
Operasi itu diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa JSKLL, Yang Mulia Penolong Penguasa Polis (ASP) Pengiran Omar Ali bin Pengiran Manshor dibantu oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis dan Pegawai Menguasa Balai Polis di daerah masing-masing.
Hasil daripada keseluruhan operasi di semua daerah telah mendapati sebanyak 543 kes kesalahan direkodkan dibawah akta agensi penguatkuasa yang terlibat;
PPDB – 437 kesalahan
JPD – 99 kesalahan
Imigresen – 0
Kastam – 6 kesalahan
BKN – 1 kesalahan
BPU – 0
Sementara anggaran jumlah kenderaan yang dibuat pemeriksaan rutin lebih kurang sekitar 50 ribu buah kenderaan.
Ada pun antara lain tujuan operasi itu dijalankan adalah untuk memastikan jalanraya tempat yang selamat untuk pengguna-pengguna jalan raya serta bertujuan untuk menjalankan pencegahan jenayah.
Di samping itu konsep ‘Stop & Search’ dan ‘Stop & Talk‘ juga diterapkan semasa operasi dijalankan bagi tujuan interaksi, mewujudkan kepercayaan dan pendekatan bersama masyarakat awam dalam usaha membendung dan mencegah jenayah secara efektif di negara ini.

TUTONG, Isnin 31 Disember 2018- Sebanyak 25 kes kesalahan kompoun telah dikeluarkan kepada pemandu kerana didapati telah melanggar Akta Kesalahan Lalulintas berikutan Operasi mingguan sekatan jalanraya yang telah dikendalikan oleh Balai Polis Tutong, Daerah Polis Tutong.
Operasi ini tertumpu di kawasan KM 63 lebuhraya Muara/Tutong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Percubaan Abdul Hakim bin Salleh beserta anggota-anggota Balai.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa memberi peringatan serta menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalulintas bagi mengelakkan tindakan undang-undang dijalankan ke atas mereka.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
