TUTONG, Khamis 27 Disember – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) giat menjalankan program Pengawasan Kejiranan baru-baru ini.Tiga program PK iaitu satu pendekatan dan dua rondaan telah dijalankan secara berasingan di Daerah Tutong.
Program aktiviti pendekatan ini melibatkan anggota Balai Polis Tutong bersama Ketua Kampong Bukit Udal, Yang Mulia Juhno bin Perak. Hadir bersama mengetuai rombongan Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Md Salleh.
Objektif pendekatan kali ini adalah untuk memantau penyerahan gaji pencen tua kepada penerima -penerima di kampong berkenaan selain berkongsi maklumat mengenai jenayah dan kegiatan -kegiatan yang ada disekitar kawasan Kampong Bukit Udal.
Disamping itu secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim di antara Pasukan khususnya Fokal Point Balai Polis Tutong bersama ahli-ahli PK dibawah tadahan Balai Polis Tutong.

Aktiviti rondaan pencegahan jenayah dijalankan bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kupang yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, P/Insp Abdul Hakim bin Haji Mohd Salleh bersama anggota-anggota balai.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PK Kupang Yang Mulia Haji Mokti bin Haji Rauf dan beberapa orang ahli PK. Rondaan pencegahan jenayah dibuat dengan menggunakan kenderaan disekitar kawasan Jalan Kecil Maraburong Kampong Kupang.
Dalam masa yang sama Balai Polis Lamunin telah mengadakan aktiviti rondaan bergandingan dengan ahli Pengawasan Kejiranan Layong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa BalaiPolis Lamunin, P/Insp Ak Md Waie @ Ak Fathurahman bin Pg Abdullah Sani dan Pemangku Ketua Kampong Layong, Yang Mulia Mejar (B) Md Noh bin Hj Md Taib.
Rondaan menggunakan kenderaan meliputi ke kawasan Kampong Layong, Jalan Loji Tapisan Bukit Barun dan sepanjang Jalan Kampong Tanjong Dangar. Secara keseluruhan rondaan dijalankan tidak ada didapati sebarang perkara yang mencurigakan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
