BERAKAS – Rabu 12 Disember 2018, Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Berakas telah menjalankan program rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) STKRJ Lambak Kiri, Mukim Berakas ‘A’. 

Seramai 11 anggota Balai Polis Berakas terlibat yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd Ruddy Mas Sharhain bin Haji Sarbini beserta 6 ahli PK kampung tersebut. 

Rondaan dibahagikan kepada dua (2) kumpulan iaitu rondaan berjalan kaki dan rondaan berbasikal yang menumpukan di kawasan-kawasan rumah kediaman tidak berpenghuni, kawasan sekolah, masjid serta di sepanjang tadahan kampung. 

Rondaan yang berakhir lewat malam tersebut tidak ada menemukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. 

LIMAU MANIS – Turut sama mengendalikan rondaan pencegahan ialah daripada UPK Balai Polis Limau Manis bersama-sama Ahli PK Kg Junjungan diketuai oleh Koperal 4044 Pg Md Iskandar Shah bin PDP Haji Salim. 

Rondaan dimulakan secara berjalan kaki di kawasan sekolah Kg Junjungan dan persekitaran dan diikuti rondaan berkenderaan yang meliputi kawasan bawah tadahan Mukim Pengkalan Batu. 

GADONG – Rondaan Pencegahan juga dikendalikan di kawasan kejiranan kampong STKRJ RIMBA, Mukim Gadong. 

Mewakili UPK Balai Polis Pusat BSB, Staf Sarjan 2802 Iskandar bersama 3 keanggotaan  Balai. Manakala ahli PK dihadiri seramai 3 orang yang diketuai oleh Ketua Kg STKRJ Rimba, Yang Mulia Abdul Wahab bin Timbang. 

Sebelum rondaan dijalankan, taklimat mengenai statistik keadaan jenayah di kampong beserta penerangan keselamatan telah disampaikan kepada ahli PK dan kemudian diikuti dengan rondaan bermula dari persimpangan 51-14 sehingga di sepanjang simpang 134-9-31. 

SUNGAI TERABAN – Satu program pendekatan PK telah dijalankan di mana kunjungan telah dbuat ke kediaman Mohd Isa bin Matrah, Timbalan Pengerusi PK Kg Sg Teraban oleh UPK Balai Polis Kuala Belait. 

Lawatan ini berkisar mengenai perbincangan situasi kampong serta merancang aktiviti rondaan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.  

Di harapkan dengan rondaan dan lawatan pendekatan ini akan memupuk dan merapatkan lagi perhubungan diantara Pengawasan Kejiranan Kampung bersama PPDB bagi matlamat mencegah dan mengawasi keadaan kampong daripada sebarang kegiatan-kegiatan negatif yang menyalahi perundangan negara ini. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI