BANDAR SERI BEGAWAN , Isnin 10 Disember 2018 – Dua (2) operasi sekatan jalanraya dan satu (1) operasi rondaan pencegahan jenayah telah dikendalikan oleh Balai Polis Kg Ayer semalam di beberapa kawasan di Bandar Seri Begawan. 

Sekatan jalanraya tersebut menumpukan di kawasan bawah Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan kawasan Kg Lumapas. Manakala rondaan pencegahan jenayah dijalankan sepanjang kawasan jalan Sungai Asam sehingga ke Jalan Tanjung Dual Kg Lumapas yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kg Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul beserta 8 anggota Balai. 

Operasi yang berakhir pada jam 4.30 pagi tersebut telah berhasil mengeluarkan 2 tindakan kompoun ke atas pemandu-pemandu atas kesalahan cukai jalan , insuran serta lesen memandu yang mansuh. 

TUTONG – Turut menjalankan Operasi sekatan Jalanraya adalah daripada Balai Polis Tutong dan Balai Polis Lamunin yang di anggotai seramai 36 orang anggota diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani. 

Operasi yang dijalankan di kawasan jalan Masjid Kg Sengkarai dan di kawasan jalan berdekatan Tanah Perkuburan Islam Kg Sengkarai itu telah mendapati 23 kesalahan kompoun serta 3 kesalahan doket kerana kereta yang dipandu tidak dilindungi insuran. 

Antara kesalahan kompoun yang diambil tindakan ialah mengubah suai kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu yang sah, lesen memandu serta cukai jalan mansuh dan tayar tidak selamat untuk digunakan (keluar benang). 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa berterusan mengadakan operasi sedemikian bagi memastikan pengguna-pengguna jalanraya patuh pada undang-undang jalanraya disamping berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan lalulintas dan juga jenayah. 

Dikeluarkan Oleh :  

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI