BRUNEI MUARA, 06 Disember 2018 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengesahkan bahawa telah menerima panggilan kecemasan dari talian 993 pada 6 Disember 2018 sekitar jam 12.24 tengah malam menyatakan bahawa telah berlaku perlanggaran bot (perahu) di perairan Brunei berdekatan Pulau Selirong, Muara.
Ekoran daripada maklumat yang diterima, Keanggotaan Polis Marin PPDB telah dihubungi untuk segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan serta pengesahan.
Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati insiden berkenaan telah melibatkan 10 orang mangsa warganegara Malaysia berpunca hasil daripada perlanggaran 2 buah bot (perahu) .
Siasatan juga mengesahkan 8 orang mangsa daripadanya telah terselamat, seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi mangsa masih dalam pencarian.
Operasi Pencarian dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan dan sedang giat dijalankan di mana ianya melibatkan beberapa buah agensi terdiri daripada Polis Marin PPDB, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Tentera Laut Diraja Brunei ABDB.
Pasukan Polis Diraja Brunei juga ingin memohon bantuan kepada orang ramai jika ada sebarang maklumat atau penemuan yang mencurigakan di kawasan tempat kejadian untuk segera menghubungi di talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
