BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 22 Okt 2018 – Seorang lelaki tempatan telah di hadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan hari ini dan telah di jatuhkan hukuman kerana menularkan maklumat tidak berasas di media sosial.

Tertuduh Mohammad Helmi bin Awang Ali, 25 tahun telah mengaku bersalah di atas tuduhan di bawah seksyen 186 (Menghalang Perkhidmat Awam Menjalankan Tugas Awam) dan seksyen 500 (Hukuman Kerana Memfitnah) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga (3) bulan yang bermula pada tarikh tertuduh direman pada 17 Oktober 2018.

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya jangan sekali-kali terlibat dalam mengeluarkan dan menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sah dan tidak berasas.

Maklumat – maklumat yang ternyata berunsur tidak betul, palsu atau rekaan boleh mengundang masalah yang sangat besar dan boleh sahaja menimbulkan fitnah yang boleh mewujudkan kacau-bilau atau huru-hara dalam masyarakat. Oleh itu, risiko untuk dikenakan tindakan undang-undang sentiasa wujud bagi setiap maklumat yang ditularkan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI