BANGAR, Sabtu 20 Oktober 2018 – Unit Pengawasan Kejiranan (UPK) Balai Polis Bangar, Temburong telah mengadakan rondaan pencegahan jenayah bersama-sama dengan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) dari Kampung Labu Estate dan Kampung Piasau-piasau Mukim Labu Daerah Temburong.

Mengetuai rondaan pada malam itu Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Anak Azanuddin bin Pg Anak Hj Ismail Al-Haj dan sepanjang rondaan tidak ada mendapati sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku.

LAMUNIN – Pada hari yang sama Balai Polis Lamunin melalui UPK balai berkenaan telah membuat program pendekatan dan pada malam tersebut telah mengadakan operasi rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli PK dari Kampung Bekiau / Pangkalan Mau.

Pendekatan UPK dengan Ketua Kampung Bekiau / Pangkalan Mau, Yang Mulia Awg Hj Mohd Taib bin Hj Jaludin diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin Inspektor Percubaan Ak. Md Waie @ Ak Fathurahman bin Pg Abdullah Sani dan seterusnya mengetuai operasi rondaan pencegahan jenayah pada malam itu bersama ahli-ahli PK kampung berkenaan.

KUALA BELAIT – Ahli-ahli PK dari Kampung Mumong juga tidak ketinggalan dalam membuat rondaan pencegahan jenayah disekitar kawasan Kampung Mumong dan kawasan-kawasan yang sering menerima laporan kejadian jenayah dibawah tadahan kampong tersebut.

Rondaan yang diketuai oleh Kopral 3028 Mohd Jin bin Roseta dari Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Kuala Belait bersama Ketua Kampung Mumong Yang Mulia Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin selaku Pengerusi Pengawasan Kejiranan bagi kampung berkenaan.

Diharapkan dengan sokongan padu dan kerjasama yang diberikan oleh masyarakat kampung sebegini akan berkekalan dan imbalannya akan menjanjikan kesan yang positif dalam aspek kebajikan sosial masyarakat dan peningkatan kesejahteraan penduduk-penduduk kampung setempat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI