LIMAU MANIS, Sabtu 13 Okt 2018 – Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil membongkar taktik cubaan penyeludupan dikawasan Jalan Tikus, simpang 1580, Kampong Limau Manis.

Hasil daripada operasi rondaan yang dijalankan dikawasan berkenaan telah membawa kepada tertangkapnya dua (2) orang suspek lelaki. Junaidi bin Haji Marali,43, warganegra tempatan dan Sahrin bin Kula, 43, warganegara Malaysia telah di tahan kerana dipercayai cuba untuk menyeludup masuk barang-barang tegahan ke Negara Brunei Darussalam.

Hasil daripada tangkapan tersebut, pihak Pasukan Simpanan Polis C Kompeni telah berjaya merampas sebanyak 106 karton rokok pelbagai jenama. Kesemua suspek dan barang-barang rampasan telah diserahkan ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan selanjutnya.

Kedua-dua suspek akan disiasat dibawah kesalahan melibatkan penyeludupan Rokok atau Produk Tembakau di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006 dimana denda bagi kesalahan tersebut adalah dibawah seksyen 146 (1) (ia) Perintah Eksais 2006 dan juga atas kesalahan dibawah Akta Imigresen Penggal 17.

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan kepada orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di negara ini dan disamping itu untuk memberikan bantuan kepada pihak Pasukan Polis bagi menyalurkan apa jua sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah-jenayah ke talian kecemasan 993 ataupun mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI