GADONG, Khamis 04 Okt 2018 – Seramai 16 orang pengambilan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan Skuad 1/2017 dan 2/2017 telah menghakhiri latihan asas kepolisan dalam satu upacara perbarisan Tamat Latihan yang telah berlangsung pagi tadi di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pertahanan ke II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir, Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Al Islam, Yang Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Yang Mulia Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri dan juga Yang Mulia Timbalan – Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan beserta Pengarah & Timbalan Pengarah, Pegawai-Pegawai kanan PPDB dan ahli keluarga pegawai-pegawai kadet.

Dalam upacara tamat latihan tersebut, dua (2) pegawai kadet terbaik daripada skuad 1 dan 2, 2017 telah menerima anugerah Pedang Kehormat (Sword of Honor) yang telah di sampaikan oleh tetamu kehormat kepada Inspektor Percubaan Muhd Aminur Rashid Bin Haji Yusly dan Inspektor Percubaan Khairul Haq Bin Haji Jumat di atas prestasi cemerlang di sepanjang latihan asas di jalankan.
Latihan asas kepolisan Pegawai Kadet Inspektor Percubaan ini adalah julung-julung kali diadakan iaitu latihan sepenuh masa didalam negeri dimana kali terakhir diadakan pada 15 tahun yang lalu. Ianya juga memperlihatkan usaha dan keupayaan Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Pusat Latihan Polis untuk melatih dan membentuk seseorang menjadi pemimpin generasi muda bermula daripada pangkat kadet dan seterusnya kepada Inspektor Percubaan. Latihan asas yang dijalankan juga meliputi aspek-aspek kepolisan, perundangan dan juga syariah.
Disamping itu, latihan asas juga bertujuan untuk membentuk seorang anggota baharu dengan keperibadian kepolisan, membina kekuatan serta ketahanan mental dan fizikal bagi melahirkan seorang pegawai polis yang mempunyai keyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin dan juga kompeten dalam menegakkan kebenaran sesuai dengan tuntutan undang-undang negara ini.
Majlis kemudian diteruskan dengan acara pemasangan pangkat dan penyerahan sijil bagi kesemua Pegawai Inspektor Percubaan Skuad 1 dan 2 2017 yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Al Islam di Dewan Banquet Mes Pegawai PPDB Gadong.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
