BELAIT, Ahad 30 Sept 2018 – Kegiatan Perjudian berjaya terbongkar dalam satu Operasi Serbuan yang dikendalikan oleh anggota tugas-tugas khas (special duties) Daerah Polis Belait Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Serbuan telah di jalankan di alamat Lot 3023, Spg. 88-23, Jln Mumong, Kuala Belait dan telah mendapati terdapat kegiatan perjudian Daun Terup dan permainan ‘Si Sek‘ sedang dijalankan.
Seramai 12 orang suspek telah ditahan yang melibatkan 3 warganegara tempatan, 5 warganegara tetap dan 4 warganegara asing.
Pihak Polis juga menjumpai peralatan-peralatan yang digunakan untuk kegiatan judi iaitu beberapa set daun terup, set permainan Si Sek dan sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian tersebut.
Kesemua suspek dan barang-barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait untuk siasatan selanjut.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei mengalu-alukan sokongan yang tunjukkan oleh masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah di kawasan kampong setempat dengan menyalurkan maklumat yang membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.
Oleh yang demikian, sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang disarankan supaya melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi terus melalui telefon ke balai polis atau talian 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
