LIMAU MANIS, Sabtu 29 Sept 2018 – Pasukan Simpanan C Kompeni Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menggagalkan satu kegiatan penyeludupan barang tegahan iaitu rokok di kawasan sempadan Limau Manis semalam.

Operasi ‘Ops Langkah’ yang dijalankan seramai 6 orang anggota itu telah berjaya memberkas dua (2) orang warga negara Malaysia di kawasan Spg 1580, Jalan Paip,(Jalan Tikus) Kawasan Sempadan Pendalaman Limau Manis.

Suspek Sahran bin Bujang, 33 dan Noraffendi bin Buang, 39 telah diberkas ketika mana cuba untuk membawa masuk rokok tegahan dikawasan berkenaan.

Dalam tangkapan tersebut, pihak Pasukan Simpanan Polis C Kompeni telah berjaya merampas sejumlah 350 karton rokok iaitu satu ratus lima puluh (150) karton rokok jenama ERA Premium, seratus lima puluh (150) karton rokok jenama Premium dan lima puluh (50) karton Era Black.

Tangkapan dan kesemua barang-barang rampasan berkenaan disiasat dibawah seksyen 146 (1)(d) dan seksyen 146 (1)(i)Perintah Eksais 2006. Didalam kes barangan kesalahan eksais, bagi kesalahan pertama, denda tidak kurang 6 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda atau denda sebanyak 40,000 ringgit Brunei dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda atau pemenjaraan dalam tempoh tidak melebihi 2 tahun atau keduanya sekali dan juga kesalahan di bawah Akta Immigresen.

Sehubungan dengan itu, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan dan yang menyalahi undang-undang di negara ini.

Disamping itu juga, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengkongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBNGAN AWAM

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI