BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 9 Ogos 2018 – Hasil Rondaan Pengawasan Kejiranan (PK) yang telah dikendalikan oleh Balai Polis Kampong Ayer bersama ahli PK kampung Lumapas ‘A’ semalam, telah membuahkan hasil dengan penemuan sebuah kereta dipercayai kereta curi yang telah dilaporkan hilang di kawasan Sengkurong.
Rondaan pada malam tersebut telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul bersama 4 anggota Polis (Unit PK) serta 5 Ahli PK yang terdiri daripada Ketua Kampung Lumapas ‘A’ Yang Mulia Haji Mohd Yassin Bin Haji Hassan.
Turut hadir semasa rondaan, 3 orang anggota daripada Unit Perhubungan Awam PPDB selaku Urusetia PK yang diketuai oleh Pmk Ketua Perhubungan Awam PPDB.
Dengan semangat dan kesatuan yang ditonjolkan oleh ahli-ahli PK dikawasan setempat boleh membawa kepada komuniti yang kuat dalam kerjasama untuk membantu penguatkuasa undang-undang di negara ini dalam membuat pencegahan, memantau serta berkongsi maklumat bagi mencapai matlamat negara untuk bebas jenayah.
Dengan itu juga, orang ramai adalah digalakkan untuk menyertai ahli pengawasan kejiranan kampung masing-masing bagi sama-sama berganding bahu mencegah berlakunya kejadian jenayah.
