KUALA BELAIT, RABU, 26 OGOS 2026 – Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kira-kira jam 7.20 pagi tadi telah menerima laporan daripada orang awam mengenai satu kemalangan dan kebakaran sebuah kenderaan yang berlaku di KM 5600, Jalan Rasau-Sungai Tujoh, Kuala Belait.
Kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan yang datang dari arah bertentangan, iaitu sebuah Kia Sportage dan sebuah Perodua Myvi.
Pemandu Kia Sportage, seorang lelaki berumur 48 tahun dan penduduk tetap, mengalami kecederaan ringan. Beliau didapati mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan yang sah.
Manakala pemandu Perodua Myvi, seorang perempuan berumur 24 tahun, warganegara Malaysia, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di tempat kejadian. Pemandu berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah, manakala lesen kenderaan didapati telah mansuh.
Hasil keterangan awal mendapati pemandu Perodua Myvi dipercayai telah hilang kawalan semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan tersebut. Walau bagaimanapun, pihak PPDB masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



Sehubungan itu, para pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengamalkan pemanduan secara berhemah dan berwaspada demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Para pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan dan memandu dengan lebih berhati-hati ketika melalui kawasan Jalan Rasau-Sungai Tujoh memandangkan kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilaksanakan di kawasan tersebut, di samping mematuhi papan tanda amaran, arahan keselamatan serta menyesuaikan kelajuan kenderaan mengikut keadaan jalan. Ingatlah bahawa kecuaian sesaat di jalan raya boleh membawa padah dan meragut nyawa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
