GADONG, ISNIN, 24 OGOS 2026 – Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah menganjurkan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. bagi Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, petang tadi.

Majlis dihadiri oleh tetamu kehormat, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir ialah Timbalan Penguasa Polis Abdul Hafizazuddin bin Haji Abdul Wahab, selaku Pengerusi BUI, serta pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota pangkat rendah dan kakitangan awam PPDB.

Acara dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam dan solat fardu Isyak berjemaah.

Majlis ini diadakan sebagai wadah bagi warga PPDB untuk bersama-sama menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. serta menghayati sirah dan akhlak junjungan besar Rasulullah S.A.W.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI