TEMBURONG, Jumaat 12 Feb 2021 – Maklumat yang dikongsikan oleh Jabatan Perisikan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Balai Polis Bangar membuahkan hasil, bila mana telah berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat (4) roda yang telah dikenal pasti mempunyai penglibatan dengan kegiatan jenayah. 

Sejurus suspek menyedari kereta mereka diekori oleh pihak polis, suspek telah memecut laju dan cuba untuk melarikan diri. Aksi kejar mengejar berlaku sehingga mengakibatkan kenderaan suspek terbabas di kawasan persimpangan jalan Kg Puni, Jalan Ujung Jalan, Daerah Temburong. 

Suspek iaitu pemandu dan penumpang kereta berkenaan telah berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan dan telah gagal dikesan. Pemeriksaan awal pihak polis terhadap kenderaan suspek ada mendapati beberapa bungkusan kotak yang mencurigakan dipercayai barangan tegahan. Kenderaan suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan lanjut. 

Sejumlah 750 karton rokok pebagai jenama telah ditemukan hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan terhadap kotak-kotak yang mencurigakan itu dan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sentiasa berusaha dan bertindak lebih agresif dalam pembenterasan dan pengekangan terhadap penyeludupan barangan tegahan di negara ini dengan mempelbagaikan skop rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi menjadi jalan tikus kepada kegiatan penyeludupan ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI