BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 April 2026 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memaklumkan bahawa sejak Januari hingga April tahun ini, seramai 14 lelaki tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Hasil siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dilakukan oleh beberapa kumpulan yang berasingan. Tangkapan berjaya dilaksanakan melalui operasi bersepadu antara Daerah-Daerah Polis bersama agensi penguatkuasa lain serta kerjasama pihak keselamatan syarikat yang terlibat.
Antara tangkapan yang telah dilakukan adalah tiga suspek berumur diantara 26 hingga 56 tahun telah ditahan berikutan kes kecurian kabel milik Jabatan Perkhidmatan Elektrik di kawasan Bukit Saeh, Kampung Lumapas — dua daripadanya telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan 6 bulan pada 26 Mac 2026, manakala seorang lagi masih menunggu tarikh perbicaraan.
Di Daerah Tutong, tiga suspek berumur 38, 40 dan 50 telah ditahan pada 19 Mac 2026 kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel di kawasan Kampung Padnunok.
Sementara itu, dua suspek, seorang bapa berumur 36 tahun bersama anaknya yang berumur 14 tahun, telah ditahan oleh Daerah Polis Temburong pada 3 Mac 2026 berhubung kes kecurian kabel elektrik di kawasan sebuah syarikat cucian batu di Kampung Selangan.
Di Daerah Belait pula, tiga lelaki tempatan berumur antara 21 dan 39 tahun telah ditahan pada 4 dan 7 April 2026 kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes kerosakan kabel fiber optik milik UNN di kawasan Labi.
Seterusnya pada 6 April 2026, Daerah Polis Brunei-Muara telah menahan tiga lelaki tempatan berumur 16, 23 dan 34 tahun berhubung beberapa kes kecurian kabel elektrik di kawasan Kampung Lumapas, Kampung Mentiri dan Kampung Beribi.
Kegiatan-kegiatan jenayah ini melibatkan kerosakan terhadap infrastruktur awam, termasuk kemudahan utiliti milik kerajaan dan syarikat telekomunikasi, yang mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada orang ramai. Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi BND $300,000.
Sehubungan itu, PPDB mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 993. Syarikat-syarikat kitar semula juga diseru untuk memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang penerimaan bahan logam yang meragukan sumbernya.
Pihak polis turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kecurian serta perbuatan khianat yang menjejaskan infrastruktur awam boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
