BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 21 Ogos 2019 – Pada 19 Ogos 2019, Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima laporan aduan jenayah berkenaan kes curi wang syarikat dan seterusnya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan.
Kejadian berlaku di Stesen Minyak Kg Negalang, Temburong di mana seorang pekerja atenden pam minyak telah menggunakan wang hasil jualan minyak stesen tersebut untuk kegunaan peribadi.
Suspek merupakan seorang warganegara tempatan bernama Mohammad Asyraf Shafwan bin Abdullah Rosli berumur 27 tahun ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 21 Ogos 2019 bagi menghadapi pertuduhan dibawah Seksyen 381 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kerani atau pengkhidmat mencuri harta milik tuannya.
Tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan ke atas tertuduh 11 bulan di Penjara Maraburong bermula pada tarikh 21 Ogos 2019.
PPDB ingin menasihati orang ramai agar menghindari daripada melakukan perbuatan curang serta mengkhianati dan menyalahgunakan kepercayaan yang telah diamanahkan dalam menjalankan tugasan.
PPDB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya dan akan menghadapkan sebarang pelaku jenayah ke Pihak Pengadilan bagi pendakwaan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
