BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 22 Oktober 2019 – Seorang lelaki warganegara tempatan Zulfaizal bin Haji Othman, 36 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 22 Oktober 2019 kerana dipercayai terlibat dengan siasatan kes curi. 

Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Polis Kg Ayer pada 20 Oktober 2019 yang lalu di mana suspek dipercayai telah melakukan perbuatan curi ke atas 1 unit telefon bimbit kepunyaan mangsa semasa mangsa sedang tidur di dalam sebuah bilik di alamat No 10B Perumahan Kg Sungai Bunga, Mukim Kota Batu. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, iaitu curi di dalam rumah kediaman atau bangunan. 

Hasil daripada perbicaraan, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh iaitu pemenjaraan selama tempoh 3 bulan di Penjara Maraburong yang bermula pada tarikh 22 Oktober 2019.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat dan terdorong dalam kancah jenayah seperti mengambil dan menyalahgunakan harta milik orang lain demi untuk kepentingan diri sendiri.  

PPDB juga tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan undang-undang dan seterusnya menghadapkan si pelaku jenayah ke muka pengadilan untuk menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI