LIMAU MANIS, Khamis 8 Ogos 2019 – Satu unit kompresor penghawa dingin berjaya ditemui kembali berikutan satu aduan yang telah dilaporkan ke Balai Polis Limau Manis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 06 Ogos 2019 lalu bertempat di sebuah rumah kediaman di Kg Masin, Limau Manis.
Di samping itu, satu tangkapan juga telah dijalankan ke atas seorang warganegara tempatan bernama Haji Mohamad Shahrin bin Haji Nasar berumur 48 tahun dan tidak bekerja bagi dijalankan siasatan lanjut dipercayai terlibat dengan kejadian tersebut.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi berdepan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu perbuatan rosak barang.
Tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak BND$800 dan jika gagal membayar dalam tempoh 1 minggu, tertuduh akan dihukum dengan pemenjaraan selama 3 minggu di Penjara Maraburong.
Usaha membanteras dan mencegah jenayah merupakan satu fenomena yang kompleks dan ianya memerlukan kerjasama daripada kesemua pihak selain pihak penguatkuasa kerajaan iaitu masyarakat awam selaku mata dan telinga dalam sama-sama berganding bahu membantu mencapai keamanan serta bebas daripada segala gejala jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
