BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 20 Mei 2019 – Seorang lelaki tempatan warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 (Curi) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.  

Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Polis Muara di mana suspek dipercayai telah melakukan curi satu (1) beg sikut bewarna hitam di dalam sebuah kereta yang diletakkan di luar kedai Naseem Enterprise, Bangunan Awg Hj Ibrahim, Mentiri. 

Hasil siasatan dan maklumat yang diperolehi melalui rakaman CCTV di tempat kejadian, mangsa ada meletakkan keretanya di luar kawasan kedai kemudian mangsa keluar daripada kereta dan berjalan masuk ke dalam kedai tanpa menutup tingkap dan mengunci kereta berkenaan. 

Kejadian tersebut telah diperhatikan oleh suspek dan apabila mendapati kereta dalam keadaan tidak berkunci, suspek telah mengambil kesempatan dengan mengambil barang mangsa dan seterusnya melarikan diri. 

Suspek bernama Haji Mohamad bin Mumin berumur 67 tahun dan tidak bekerja telah berjaya ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Muara untuk dijalankan siasatan lanjut.   

Hasil daripada sebutan kes, pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 6 bulan di Penjara Maraburong kepada tertuduh bermula 20 Mei 2019. 

Tertuduh sebelum ini juga pernah menghadapi pertuduhan kes curi yang telah membawa kepada hukuman pemenjaraan selama 2 bulan yang bermula pada tarikh 9 Febuari 2019. 

Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi menyeru kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka semasa hendak meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika, perlulah dipastikan enjin kereta dimatikan dan dikunci bagi mengelakkan sebarang perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI