BERAKAS, Sabtu 18 April 2020 – Dua (2) orang lelaki diberkas kerana dipercayai terlibat dengan laporan kes tipu berkaitan urusan jual beli telefon bimbit yang berlaku di kawasan Serusop.
Bertindak atas maklumat yang diperolehi, keanggotaan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan hingga berhasil menahan dua orang lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dengan kegiatan penipuan.
Suspek pertama bernama Muhammad Nur’Hafiz bin Haji Mohamad Yusof berumur 25 tahun manakala suspek kedua bernama Md Amirul Zaim bin Zulkifli berumur 18 tahun. Kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan.
Menurut siasatan awal, mangsa dan suspek pertama telah membuat perundingan jual beli telefon bimbit di dalam platform media sosial ‘Facebook’ kemudian membuat perjumpaan di kawasan Serusop.
Semasa urusan jual beli, suspek pertama (pemandu) ada membuat pemeriksaan ke atas telefon bimbit mangsa di dalam kereta suspek ditemani oleh suspek kedua (penumpang) manakala mangsa berada di luar kereta.

Mangsa kemudian merasa curiga terhadap urusan tersebut lalu membuat tindakan dengan berdiri di hadapan kereta suspek dan tanpa disedari oleh mangsa, suspek pertama segera memandu keretanya bertujuan untuk melarikan diri bersama telefon bimbit mangsa. Semasa kejadian tersebut, mangsa telah mendapat kecederaan ringan di bahagian kedua lutut akibat dilanggar oleh kereta suspek.
Kedua-dua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan dan hasil dari sebutan kes, tertuduh pertama telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 9 bulan di Penjara Maraburong bermula pada 18 April 2020 atas pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Menipu dan mendorong secara tidak jujur supaya diserahkan harta.
Manakala tertuduh kedua telah dilepaskan dan diberi amaran keras atas sebab tidak ada niat dan penglibatan terhadap perlakuan tertuduh pertama.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan kegiatan yang melibatkan urusan jual beli melalui platform media sosial kerana ianya mungkin sahaja perangkap yang akan mendatangkan kerugian.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
