GADONG, Sabtu, 24 Ogos 2024 – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berkenan berangkat Ke Upacara Perbarisan dan Majlis Santap Pagi Sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Polis Wanita, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Keberangkatan Yang Teramat Mulia di Dewan Bankuet Mes, Pasukan Polis Diraja Brunei, dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Pegawai-Pegawai Kanan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

Sejurus berangkat tiba, Yang Teramat Mulia menerima tabik hormat diraja dan seterusnya berkenan berangkat ke ruang legar (lobi) Dewan Bankuet Mes, Pasukan Polis Diraja Brunei.

Yang Teramat Mulia diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Pada majlis ini, Yang Teramat Mulia juga berkenan menandatangani Slip Lembaran Kenang-Kenangan sejurus sebelum berangkat mengikuti sesi bergambar ramai bersama dengan Pegawai-Pegawai Kanan dan Ahli Jawatankuasa Sambutan.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan majlis memotong kek Sempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan Polis Wanita dan seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dan berkenan mengurniakan sabda.​

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI