TUTONG, Selasa 24 Dis 2019 – Bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan dengan berkesan, kolaborasi antara agensi penguatkuasa undang-undang yang berkaitan telah mengadakan satu Operasi Sepadu di beberapa kawasan di Daerah Tutong.
Operasi Sepadu pada malam 24 Disember 2019 itu melibatkan beberapa Balai dan Unit daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) iaitu Balai Polis Tutong, Balai Polis Lamunin, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia dan Unit Hal Ehwal Luar, INTERPOL dan ASEANAPOL.
Di samping itu penglibatan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) dengan keramaian seramai 94 orang pegawai dan anggota keseluruhannya yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Dk Husmawati bte Pg Hussin, Pemangku Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Tutong.
Sebanyak 4 buah rumah kediaman dan rumah sewa telah menjadi lokasi sasaran operasi sepadu iaitu di kawasan Kg Pangkalan Tangsi Jalan Lamunin, Kg Kiudang dan Kg Birau.
Hasil daripada pemeriksaan mengejut ke lokasi yang pertama telah menemukan barangan tegahan sebanyak 164 kotak rokok pelbagai jenama yang tidak diisytiharkan, 1 paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah syabu, penemuan beberapa peralatan yang digunakan bagi menghisap dadah serta satu rokok elektronik (Vape).

Lokasi seterusnya telah menemukan barangan tegahan iaitu minuman keras dan beberapa kotak rokok pelbagai jenama.
Manakala dilokasi terakhir telah menemukan barang tegahan sebanyak 10 kotak rokok pelbagai jenama dan 3 orang warga asing telah dikeluarkan pas khas bagi siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan dokumen yang sah.
Operasi pada malam tersebut adalah usaha berterusan agensi penguatkuasa undang-undang di Daerah Tutong dalam sama-sama mengambil tindakan yang serius dalam objektif utama membanteras jenayah dan kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
