BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 6 Feb 2020 – Seorang lelaki tempatan yang didakwa dengan pertuduhan curi dan merosakkan harta bangunan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan hari ini.
Siasatan dari keanggotaan Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah membawa kepada penahanan suspek bernama Mohd Azwa’an bin Karim berumur 21 tahun yang dipercayai terlibat melakukan kegiatan jenayah berkenaan di salah sebuah Restoran di kawasan Berakas.
Daripada penemuan siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai menyungkit pintu kabel elektrik menggunakan alat pemotong yang tajam lalu memotong dan mengambil kabel elektrik tersebut. Kabel-kabel berkenaan kemudiannya dijual di bengkel besi buruk di kawasan Kg Burong Pingai, Berakas dengan harga BND$50.00 ringgit.
Hasil daripada perbicaraan, pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan di atas dakwaan di bawah Seksyen curi 379 dan rosak barang 426 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang bermula pada tarikh 6 Februari 2020 di Penjara Maraburong.
PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama ataupun tampil kemana-mana Balai Polis untuk mengongsikan sebarang maklumat yang berbentuk tindakan segera, siasatan, pencegahan mahupun pembanterasan. Dengan penyaluran maklumat yang berharga sepertinya akan memberi kesan yang tinggi dalam penurunan kadar jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
