BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 17 Ogos 2019 – Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama 4 minggu oleh Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 17 Ogos 2019 selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu kononnya dikejar oleh sekumpulan lelaki bersenjata parang di kawasan Jalan Kianggeh, BSB. 

Tertuduh bernama Angelito Enad Damuag, warganegara Filipina berumur 34 tahun, tidak memiliki sebarang pekerjaan membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 182 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu memberikan maklumat palsu yang boleh membawa hukuman penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 6 bulan atau denda. 

Aduan laporan palsu dibuat di Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan dan hasil daripada siasatan mendapati tujuan membuat aduan disebabkan oleh merasa tertekan tidak mempunyai sebarang wang perbelanjaan dan pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarganya. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memberi peringatan dan amaran, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu di negara ini.  

Konsekuensi perbuatan sedemikian akan menyusahkan banyak pihak dan sipelaku akan didakwa dan dihukum dengan setimpalnya. 

Diingatkan juga kepada masyarakat awam agar lebih bertanggungjawab dengan membuat laporan yang tepat jika berlaku sesuatu keadaan membabitkan jenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI