GADONG, Selasa 11 Februari 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes penyamaran bersiri, termasuk menyamar sebagai pegawai kanan kerajaan dan penipuan pelaburan melalui aplikasi media sosial.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pelaburan dalam talian dan bertindak sebagai “keldai akaun” (account mule) kad SIM setelah menerima arahan daripada individu tidak dikenali yang dikenali sebagai “Admin” dalam sebuah kumpulan sembang (group chat) di aplikasi Telegram. Suspek dipercayai diarahkan untuk mendaftarkan kad SIM baharu, yang kemudian digunakan oleh “Admin” untuk menyamar sebagai pegawai kanan kerajaan bagi memperdaya dan meyakinkan orang ramai supaya melabur dalam skim pelaburanyang ditawarkan. Selain itu, suspek juga diarahkan untuk memasukkan wang pelaburan ke dalam akaun-akaun orang yang tidak dikenali.
Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan satu kumpulan sembang Telegram bernama “CITY INDEX STOCK MARKET”, yang disyaki digunakan sebagai platform untuk menjalankan penipuan pelaburan dalam talian. Beberapa individu tempatan yang dipercayai bertindak sebagai “keldai akaun bank” turut dikenal pasti. Jumlah kerugian serta bilangan mangsa yang terlibat masih dalam siasatan.
PPDB mengingatkan orang ramai agar tidak menyewakan akaun bank atau mendaftarkan nombor Kad SIM bagi kegunaan pihak lain. Individu yang terlibat dalam aktiviti ini boleh didakwa di bawah:
🔹 Seksyen 3, Pengubahan Wang Haram, Perintah Mengembalikan Aset Jenayah, 2012 – Hukuman denda sehingga $500,000, penjara sehingga 10 tahun, atau keduaduanya sekali.
🔹 Seksyen 417, Kanun Hukuman Jenayah (Menipu) – Hukuman penjara sehingga 3 tahun dan denda.
Selain itu, PPDB menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menggunakan media sosial dan internet untuk menawarkan barangan, perkhidmatan atau pelaburan dengan harga yang kelihatan terlalu murah dan sangat menguntungkan. Jangan membuat sebarang pembayaran tanpa bukti sahih mengenai kesahihan tawaran tersebut.
Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau individu yang terlibat, orang ramai digesa untuk melaporkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
