GADONG, Isnin 9 Disember 2024 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memaklumkan bahawa pada 13 November hingga 5 Disember 2024, sebanyak 12 orang warga tempatan telah ditangkap kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket jenayah siber. Jumlah tangkapan tersebut terdiri daripada 8 orang lelaki dan 4 orang perempuan dengan lingkungan umur antara 23 hingga 53 tahun.
Modus operandi mereka yang ditangkap adalah dengan menyewakan akaun bank dan juga mendaftarkan SIM kad kepada orang yang tidak dikenali dengan dibayar komisyen. Kad-kad SIM tersebut yang telah pun digunakan untuk menipu manakala akaun-akaun bank tersebut digunakan untuk mengalihkan wang hasil penipuan sebelum dipindahkan kepada orang yang tidak dikenali. Salah seorang yang ditangkap didapati telah mengakses akaun bank ahli keluarga terdekat untuk memindahkan wang kepada akaun lain. Siasatan awal terhadap kes-kes ini telah mendedahkan kerugian melebihi lima ribu ringgit.
Mereka yang ditangkap akan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan Seksyen 109 Persubahatan dalam mana-mana kesalahan, Seksyen 120B Konspirasi Jenayah, Seksyen 414 Membantu dalam penyembunyian atau pelupusan harta curi, Seksyen 419 / 420 Penipuan di bawah Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, Seksyen 5 Akta Penyalahgunaan Komputer Penggal 194 iaitu akses tanpa kebenaran akaun bank dan Seksyen 3 Pengubahan Wang Haram di bawah Perintah Pemulihan Aset Jenayah (CARO), 2012.
Pihak Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam skim penyewaan akaun bank, mendaftar SIM kad untuk orang yang tidak dikenali. Orang ramai juga diingatkan untuk jangan mengikuti skim pelaburan atau pinjaman wang di laman media social dan sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat peribadi daripada sesiapa yang dikenali dari media sosial.
PPDB akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku jenayah siber demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Kerjasama orang ramai amat dihargai dalam meningkatkan kesedaran mengenai taktik penipuan ini di kalangan keluarga dan rakan-rakan. Kesedaran dan kewaspadaan bersama adalah kunci untuk mencegah jenayah sebegini daripada terus berleluasa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
