GADONG, Rabu, 14 Januari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membongkar aktiviti sindiket penyewaan akaun bank yang dipercayai terlibat dalam menerima serta memindahkan dana hasil kegiatan jenayah, termasuk penipuan dan perjudian dalam talian.
Penemuan ini bermula daripada hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di Pos Kawalan Sungai Tujoh, di mana sejumlah kad bank tempatan berserta barang-barang tegahan lain telah ditemui di dalam sebuah kenderaan asing bersama dengan dua orang warga asing. Susulan penemuan tersebut, pihak polis telah dimaklumkan dan bertindak menahan kedua-dua individu berkenaan bagi siasatan lanjut.

Siasatan mendapati bahawa penahanan ini merupakan satu penemuan penting dalam usaha membongkar rangkaian sindiket penyewaan akaun bank yang dipercayai telah aktif beroperasi sejak Januari 2025.
Kaedah operasi sindiket ini melibatkan penawaran penyewaan akaun bank melalui platform media sosial, di mana pemilik akaun yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan perbualan tertutup atau private chat group bagi tujuan penyelarasan dan arahan pemindahan dana.




Dengan penahanan dua suspek terbaharu ini, BSJS setakat ini telah berjaya menahan seorang warga asing yang berperanan sebagai ‘runner’ serta 48 pemilik akaun ‘keldai’, yang kesemuanya merupakan warga tempatan. Pemilik akaun yang terlibat adalah dalam lingkungan umur 20 hingga 56 tahun, sekaligus menunjukkan bahawa sindiket ini telah memanipulasi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
Kesemua individu yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah bagi kesalahan-kesalahan berikut:
- Seksyen 3, Akses Tanpa Kebenaran, Akta Penyalahgunaan Komputer, Bab 194
- Seksyen 8, Pendedahan Kod Akses Tanpa Kebenaran, Akta Penyalahgunaan Komputer, Bab 194
- Seksyen 3, Kesalahan Membersihkan Wang Haram, Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012
- Seksyen 37, Kewajipan Melaporkan Pemindahan Wang Tunai Merentas Sempadan, Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012
PPDB mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terlibat dalam penyewaan atau penyerahan akaun bank kepada pihak lain, kerana ianya merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang. Orang ramai juga diseru untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. Kewaspadaan dan kerjasama masyarakat merupakan kunci utama dalam mengekang jenayah kewangan daripada terus berleluasa.
PPDB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pihak JKED atas kerjasama erat serta bantuan yang diberikan, yang telah membawa kepada kejayaan menahan semua suspek dan seterusnya membongkar kegiatan sindiket berkenaan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
