Selasa 30 Julai 2019 – Pengawasan Kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) giat aktif dikendalikan dengan sokongan dan kerjasama yang telus oleh penduduk kampung dalam sama-sama menatang keselamatan kampung. 

Sehubungan itu, sejumlah ahli PK kampung di beberapa daerah telah turun padang bersama keanggotaan balai di bawah tadahan masing-masing dalam usaha membanteras dan mencegah sebarang kegiatan jenayah daripada berlaku. 

TUTONG – Kawasan Wasai Batu Mapan dan sekitarnya merupakan antara lokasi rondaan yang telah dijadualkan oleh keanggotaan Balai Polis Lamunin bersama ahli PK Kg Padnunok Tutong.  

Mengetuai rondaan ialah Inspektor Mohd Zulfadli bin Haji Yusof serta Ketua Kampung Padnunok, Yang Mulia Awang Haji Matamit bin Junit. 

BRUNEI MUARA – Tiga (3) rondaan pencegahan PK telah dikendalikan di kawasan Brunei dan Muara yang melibatkan ahli PK Kg Sengkurong ‘A’, ahli PK Kg Batong serta ahli PK Kg Kulapis. 

Ketiga-tiga rondaan berkenaan dipimpin oleh Focal Point Balai Polis masing-masing di mana tumpuan rondaan adalah di kawasan rumah-rumah kediaman yang telah tidak didiami lagi dan lama kosong dan kawasan persekitaran masjid. 

TEMBURONG – Perkampungan Sibut, tadahan Mukim Amo juga turut menyaksikan kerjasama yang terjalin di antara anak-anak kampung bersama anggota balai dalam usaha merealisasikan kampung bebas jenayah. 

Seramai 7 ahli PK serta 6 keanggotaan Balai Polis Bangar yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai, Inspektor Polis Percubaan Iman Aqilah Fikriah bte Haji Mohd Shafiee kendalikan rondaan yang memberikan tumpuan terhadap kawasan Balai Raya, Balai Ibadat dan sepanjang kawasan persekitaran sehingga ke Kawasan Riadah Mini Zoo. 

Hasil rondaan tidak mendapati sebarang kejadian dan tidak ada unsur-unsur jenayah dilaporkan.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI