SABTU, 16 Nov 2019 – Beberapa program yang dirancang telah dikendalikan dengan jayanya oleh keanggotaan Unit Fokal Point Pengawasan Kejiranan (PK) bersama ahli-ahli PK di beberapa kampung di negara ini.
Program berkenaan melibatkan aktiviti pendekatan dan juga sosial / kebajikan bertujuan untuk memupuk kesefahaman, melahirkan sikap kerjasama dan kepercayaan serta perkongsian maklumat.
BRUNEI MUARA – Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerusi Unit PK telah membuat kunjungan aktiviti pendekatan ke rumah Ketua Kampung STKRJ Kampung Sungai Buloh, Yang Mulia Hamidun bin Haji Abd Karim. Rombongan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Inspektor Kanan Polis (S/Insp) Saidin Bin Mohamad Salleh dan juga hadir seramai empat (4) orang penduduk kampung berkenaan bagi meriahkan lagi perjumpaan pada hari tersebut.
Tujuan pendekatan dibuat bagi membincangkan aktiviti-aktiviti PK dan perkongsian mengenai permasalahan berhubung dengan keselamatan dan isu semasa.
Balai Polis Kampong Ayer, PPDB juga tidak ketinggalan dalam sama-sama mengerakan aktiviti pendekatan dengan bertandang ke rumah Ketua Kg Saba Darat ‘B’, Yang Mulia Awang Haji Mayalin bin Haji Saat yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul.

Di kesempatan itu juga diselitkan aktiviti berunsur keugamaan dan kebajikan iaitu menziarahi tanah perkuburan orang-orang Islam di Sungai Panga, Kampung Sungai Kebun.
Di samping itu, Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis, Ketua Inspektor (C/Insp) Shamsulnahar bin Haji Idris telah membuat kunjungan pendekatan ke rumah Pmk Ketua Kg Batong, Yang Mulia Haji Latip bin Haji Madris bersama beberapa keanggotaan balai bagi sesi suai kenal serta menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu permasalahan di kampung tersebut.
TUTONG – Unit Fokal Point Balai Polis Lamunin tidak ketinggalan dalam membuat aktiviti sosial iaitu kempen kebersihan dan bergotong royong bersama Ketua Kampung Birau Lamunin dan ahli-ahli PK kampung berkenaan di Masjid Kampong Birau Lamunin.
Aktiviti ini dibuat bagi mengeratkan lagi tali silaturahim di antara PPDB dan penduduk kampung berkenaan.
BELAIT – Beberapa pendekatan bersama ahli-ahli PK telah turut dikendalikan di Daerah Belait iaitu pendekatan ke Sekolah Rendah Labi, Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria, ahli PK Kg Sg Liang, perjumpaan bersama Pmk Ketua Kg Pandan ‘C’ dan Pmk Ketua Kg Merangking. Hasrat perjumpaan dijalankan adalah bagi perbincangan dan perkongsian nasihat keselamatan sempena cuti penggal persekolahan yang akan datang.
TEMBURONG – Aktiviti mengunjungi ahli-ahli PK juga giat dikendalikan oleh Unit Fokal Point Balai Polis Bangar ke rumah-rumah kediaman Pmk Ketua Kampung Belingus, Yang Mulia Awang Bujang bin Uga dan Yang Mulia Awang Haji Abdul Rahman bin Merusin Penghulu Mukim Bangar selaku Penasihat PK.
Objektif perjumpaan adalah bagi membincangkan perihal pelantikan baru ahli-ahli PK yang semakin mendapat tarikan penduduk kampung untuk menyertainya.
Pengawasan Kejiranan anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berkonsepkan penglibatan secara sukarela ini diharap akan lebih mendapat perhatian sepenuhnya serta lebih ramai lagi menyertainya dalam gagasan utama memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan kerjasama dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah dengan sepenuhnya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
