Belait, Isnin, 10 November 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput oleh Syarikat BLNG Lumut bagi menyampaikan taklimat bertajuk Penipuan Dalam Talian.
Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad dan dihadiri sekitar 70 pegawai dan kakitangan syarikat tersebut. Selain itu, sesi berkenaan turut disiarkan secara maya yang melibatkan penyertaan kira-kira 100 orang lagi kakitangan secara dalam talian. Antara isu yang diketengahkan semasa taklimat ialah mengenai modus operandi penjenayah siber yang mencipta akaun palsu di media sosial bagi tujuan mendapatkan keuntungan wang secara haram yang jelas bertentangan dengan undang-undang negara.
Para peserta yang hadir turut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mengongsikan maklumat peribadi dengan mudah apabila mendapat tawaran yang menarik ataupun terhadap perkara seperti cabutan bertuah yang dilakukan secara dalam talian. Dengan peningkatan ancaman penipuan dalam talian, inisiatif ini dihasratkan supaya akan dapat memberi impak positif dalam menurunkan statistik kegiatan jenayah siber yang semakin meluas di Negara Brunei Darussalam.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
