TEMBURONG, Isnin 23 Jun 2025 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membenteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah memberikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada empat puluh (40) orang yang terdiri daripada Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung serta Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan Jabatan Daerah Temburong yang diketuai oleh Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau merangkap Pemangku Penghulu Mukim Zon 1 Daerah Temburong dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Objektif utama taklimat ini adalah bertujuan untuk memberikan pengetahuan yang lebih dalam dan memahami secara lebih terperinci tentang mengenal pasti elemenelemen dan indikasi mangsa yang berpotensi terlibat di dalam jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam. Antara perkara yang dibentangkan dalam taklimat ini adalah maklumat yang telah dikongsikan iaitu fungsi dan peranan USPM, perkongsian case study bagi kes-kes pemerdagangan orang yang telah berjaya dihadapkan ke muka pengadilan yang memenuhi semua indikasi unsur-unsur pemerdagangan orang yang telah disiasat oleh USPM semenjak tertubuhnya unit ini pada 16 Ogos 2011. Taklimat telah disampaikan anggota-anggota di USPM.
Kesedaran mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Melalui penyampaian maklumat dan kefahaman yang jelas kepada pemimpin akar umbi serta agensi-agensi berkaitan, usaha membanteras jenayah ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. PPDB menghargai kerjasama berterusan daripada komuniti dalam menyalurkan maklumat serta menyokong inisiatif pencegahan, demi memastikan Negara Brunei Darussalam kekal bebas daripada ancaman Jenayah Pemerdagangan Orang.



Dikeluarkan oleh:
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
