BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 24 Jan 2024 – Bersempena dengan sambutan 103 Tahun Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), satu Majlis Membaca Surah Yaasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja pagi ini khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah diadakan pada 24 Januari 2024 bertempat di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan. 

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali. 

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta warga kakitangan awam PPDB. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Surah Yaasin diikuti dengan bacaan Tahlil dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, Yang Mulia APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar. 

Majlis seumpama ini merupakan salah satu aktiviti keugamaan yang dikendalikan oleh Badan Ugama Islam (BUI) PPDB bagi menyemarakkan dan memperolehi lagi keberkatan Sempena Sambutan 103 Tahun Pasukan Polis Diraja Brunei Tahun 2024. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​