BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 3 Julai 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Pusat telah menghadapkan dua orang tahanan warganegara tempatan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan kerana dipercayai telah terlibat dalam satu kes rompak yang berlaku pada hari Rabu 26/06/2019 di kawasan tanah lapang Simpang 162 Kg Tungku Gadong.
Semasa kejadian dua suspek berkenaan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios bewarna Silver berdaftar KP5802. Mereka menghampiri mangsa yang ketika itu bekerja sebagai Pembuang Sampah. Tiba-tiba salah seorang suspek mengeluarkan sebilah parang dan mengacukannya kepada mangsa. Barang yang dicuri adalah 1 telefon bimbit jenama Merk Meizu bewarna hitam, 1 sling beg bewarna hitam, 1 sling beg bewarna coklat yang berisi wang tunai sebanyak BND$852.00 dan 1 kad pengenalan miliknya. Anggaran kerugian sebanyak BND$1052.00
Tertuduh pertama nama Muhamad Zami’ulhayat @ Izzat bin Mohsin berumur 23 tahun tidak bekerja dan tertuduh kedua Ak Masrulizam bin Pg Masri berumur 32 tahun juga tidak bekerja telah berjaya ditahan oleh gabungan anggota ahli Special Duties dari Balai Polis Pusat, Balai Polis Berakas dan Balai Polis Muara.
Pendakwaan dijalankan oleh DPP Hjh Attiyah binti Haji Abbas di hadapan Senior Majistret Hajah Adzrimah binti Hj Abdul Rahman. Kedua-dua suspek telah dibacakan tuduhan di bawah Seksyen 390 Perintah Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Rompak dan ditahan reman di Penjara Maraburong untuk disebut semula di Mahkamah Tinggi. Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dijatuhkan hukuman pemenjaraan yang boleh mencapai 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei sentiasa tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan negatif terutama yang berunsurkan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
