GADONG, Khamis 11 Jun 2020 – Seorang pemandu tidak mempunyai lesen memandu dan dipercayai memiliki barang tegahan telah berhasil ditahan oleh keanggotaan Jabatan Siasatan & Kawalan Lalulintas (JSKLL) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hasil daripada rondaan rutin harian yang dijalankan semalam di kawasan Brunei Muara.
Pemandu (suspek) berkenaan merupakan seorang lelaki warga tempatan dan telah dijalankan pemeriksaan kerana didapati meletakkan kenderaannya di kawasan bahu jalan dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan Kampong Junjongan pada 11 Jun 2020.
Suspek kemudian telah ditahan setelah pergelutan berlaku disebabkan suspek bertindak ganas apabila dikerah oleh pihak Polis untuk keluar dari kenderaan kerana gagal menunjukkan lesen memandu suspek.
Hasil siasatan pihak Polis suspek tidak mempunyai lesen memandu dan ketika pemeriksaan dijalankan ke atas suspek serta kenderaan berkenaan, pihak Polis telah mendapati suspek ada membawa bersamanya paket plastik ketulan hablur yang dipercayai dadah jenis Syabu.
Suspek telah diambil tindakan atas kesalahan lalulintas iaitu :-
1. Tidak mempunyai lesen memandu.
2. Ubah suai kenderaan.
3. Gagal tukar milik kenderaan dalam tempoh 14 hari.
Suspek juga diserahkan ke Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi menjalani siasatan lanjut. PPDB melalui JSKLL akan sentiasa menjalankan rondaan harian di kawasan-kawasan yang ditetapkan bagi memastikan para pemandu-pemandu jalanraya akan sentiasa akur dan patuh akan garis pandu dan perundangan yang ditetapkan di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
