BERAKAS, Rabu 7 Ogos 2019 – Berikutan aduan kes ragut yang dilaporkan ke Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 4 Ogos 2019 yang berlaku di sebuah kedai runcit di Jalan Pulaie. Keanggotaan Special Duties daripada balai berkenaan telah berjaya menemukan seorang suspek yang dipercayai merupakan dalang utama kepada kejadian berkenaan.
Menurut keterangan mangsa, semasa kejadian berlaku mangsa telah mendapati anak beliau yang berusia sekitar 1 tahun lebih sedang menangis dan ada kesan calar di bahagian leher anak mangsa. Mangsa lalu menyedari seutas rantai emas yang dipakai di leher anak mangsa telah hilang dan dipercayai dicuri.
Hasil siasatan yang dijalankan dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan telah mengesan seorang suspek lelaki dan kemudiannya berjaya ditahan serta dibawa ke Balai Polis Berakas bagi siasatan lanjut.
Suspek bernama Norazmi bin Haji Tahir berumur 49 tahun dan tidak memiliki sebarang pekerjaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 07 Ogos 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 390 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Rompakan.
Hasil daripada sebutan kes, Pihak mahkamah telah melanjutkan bagi tertuduh di remand di Penjara Maraburong dan kes dipindahkan ke perbicaraan Mahkamah Tinggi dimana tarikh akan dimaklumkan kemudian.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menasihatkan kepada orang ramai agar jangan bertindak melulu dalam melakukan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah yang boleh merosakkan kehidupan masa depan yang dibina serta menghancurkan institusi kekeluargaan.
Undang-undang negara akan sentiasa ditanai dan dikuatkuasakan bagi kepentingan ketenteraman masyarakat dan keamanan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
