BRUNEI MUARA, Isnin 25 Nov 2019 – Sebanyak 5 buah kenderaan yang telah diletakkan di kawasan Kg Kiulap, Bandar Seri Begawan telah mengalami kerosakan dipercayai perbuatan khianat.
Di samping itu beberapa gambar telah tular menyatakan cermin tingkap beberapa buah kenderaan dibahagian belakang telah dipecahkan dan gambar seorang individu turut dikongsikan di dalam media sosial.
Berikutan kejadian tersebut, Balai Polis Pusat BSB (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan tersebut pada 22 November 2019 dan tindakan siasatan telah dijalankan bagi mengenal pasti punca serta dalang pelaku kepada perbuatan jenayah tersebut.
Hasil siasatan yang dijalankan, seorang suspek lelaki telah berjaya ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan. Suspek bernama Muhammad Izzat Bin Hj Said, 34 tahun tidak bekerja telah menjalani siasatan pihak polis dan seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 25 November 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 352 dan Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Daripada sebutan kes yang dijalankan, Pihak Mahkamah telah bersetuju bagi suspek ditahan reman bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital RIPAS sehingga 2 Disember 2019 sebelum melanjutkan perbicaraan seterusnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini dan PPDB juga akan sentiasa berusaha memantau dan seterusnya mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan untuk dihadapkan kemuka pengadilan bagi menghadapi perbicaraan serta hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
